Wednesday, December 6, 2006

Musafir: antara waktu yang diperkenankan doa

Sabda Nabi SAW kepada sahabat-sahabat yang ingin musafir "Jangan engkau lupa dalam mendoakan saya". Perbuatan ini turut diikut oleh para sahabat apabila ada sahabat yang ingin musafir.

Dari Ali bin Rabi'ah katanya "Aku telah menyaksikan Ali bin Abi Talib RA (sewaktu itu menjadi khalifah ke 4) dibawa kepadanya binatang utk ditunggang. Tatkala beliau meletakkan kaki di atas tempat naik, maka disebut "bismillah". Kemudian apabila beliau meletakkan kaki pada belakang tunggangannya, maka dibaca (doa naik kenderann) "Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah menjadikan bagi kami dapat menguasai (kenderaan ini). Dan tiada bagi kami selain daripadaNya yang dapat mengiringi dan sesungguhnya kepada Tuhan kami, kami semua kembali."


Kemudian beliau menyebut "Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah". Kemudian beliau menyebut "Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar". Kemudian beliau menyebut lagi "Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau"

Kemudian beliau ketawa. Maka bertanya kami “Wahai Amirul mukminin, kenapa engkau ketawa?” “Aku melihat nabi SAW melakukan seperti aku tadi, kemudian baginda ketawa, maka sebab itu aku pun ketawa. Aku bertanya, Ya Rasulullah, kenapa engkau ketawa? Jawab Nabi SAW “Sesungguhnya Tuhanmu yang maha suci kagum kepada hambaNya yang berkata “ampunilah dosaku”. Ini kerana dia tahu tiada yang dapat mengampun dosanya melainkan Allah.

Nabi ketawa kerana gembira sebab baginda tahu Allah Taala menerima doa orang di dalam musafir. Para sahabat mengikut perbuatan nabi SAW kerana mereka juga tahu dan faham kenapa mereka boleh bergembira. Sedangkan kita hari ini tidak faham dan tidak mengerti apa-apa lantaran hati kita keras dan tidak merasa apa-apa walaupun dikatakan akan diampunkan dosa.

Imam Ahmad bin Hambal dikatakan tidak membelah tembikai kerana beliau tidak tahu bagaimana nabi SAW membelah tembikai, maka disuruh orang lain membelah tembikai. Imam Malik bin Anas pula dikatakan pernah berkaki ayam kerana takut terpijak jejak nabi SAW. Perbuatan ini sebenarnya hanyalah kerana tanda cinta dan kasih mereka kepada Nabi SAW walaupun agama tidak menyuruh mereka melakukan demikian.

(perbuatan ini ditunjukkan semata-mata menunjukkan rasa kasih dan sayang mereka kepada nabi SAW yang menjadi panduan dan rujukan dalam segala hal.).